KOTA MARUDU: Seorang pemandu lelaki meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Manggaris Kota Marudu pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Jailip Madapun, 52, disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, kemalangan jam 8.50 pagi itu membabitkan Mitsubshi Triton dan Proton Saga.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dalam kenderaan Proton dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu yang tiba di lokasi menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pemandu dan penumpang Mitsubshi mengalami cedera ringan bersama tiga mangsa lain dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.
Katanya, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain di lokasi sebelum menamatkan operasi keseluruhan jam 9.40 pagi. – Info X