Search

Tiada isu perkauman dicetus UMNO Sabah

April 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah menafikan berlaku isu perkauman di Sabah seperti dibangkitkan sesetengah pihak dengan menuduh UMNO sebagai pencetusnya.

Timbalan Pengarah II Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah, Datuk Fadilah Sarbi, berkata tuduhan itu yang dikaitkan dengan isu KK Mart yang kini dalam siasatan adalah tidak wajar.

Beliau berkata, isu itu hanya membabitkan Pemuda UMNO Pusat dan UMNO Sabah mengormati pendirian sayap parti itu kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Kita berharap semua pihak tidak memanjangkan isu ini dan mengapi-apikanya kerana ia boleh merebak serta mencetuskan perbalahan kaum apalagi di Sabah masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadilah yang juga bekas Ketua Puteri UMBO Sabah mengulas beberapa kenyataan bekas pemimpin politik di Sabah yang cuba mengaitkan isu itu dengan UMNO Sabah dan mengajak rakyat negeri ini menolak UMNO kerana dilabel sebagai parti ekstremis.

Perkara itu ditimbulkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk James Ligunjang dalam kenyataan medianya baru-baru ini yang meminta rakyat Sabah menolak UMNO disebabkan isu KK Mart.

Fadilah menyifatkan gesaan James sebagai satu provokasi yang melampau kerana UMNO sudah wujud 33 tahun di Sabah tanpa sebarang perkara negatif dilakukan parti itu hingga menjejaskan tahap keharmonian rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Kenyataan sebegini tidak seharusnya dilontarkan oleh seorang tokoh politik yang matang, hanya kerana kepentingan politik dengan mudah melabelkan UMNO Sabah ke tahap itu.

“Ia boleh mencalarkan imej UMNO dan mewujudkan persepsi negatif kepada masyarakat dan saya harap provokasi seperti ini dihentikan,” katanya.

Fadilah yang juga Ketua Penerangan UMNO Sepanggar, berkata UMNO sudah tentu tidak berkompromi dengan sesiapa saja yang mempersendakan Islam, namun dalam kes KK Mart semua pihak menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Beliau menjelaskan, tuduhan yang menganggap UMNO Sabah sebagai ekstremis adalah tuduhan yang berat dan tidak masuk akal sama sekali.

Katanya, latar belakang UMNO Sabah itu sendiri mempunyai pemimpin dan ahli daripada pelbagai kaum termasuk bukan Islam terutama di bahagian pedalaman seperti Ranau, Keningau, Tenom dan Pensiangan yang majoriti masyarakatnya adalah Kadazandusun dan Murut (KDM).

“Jika ditelusuri, selain kepelbagaian kaum dan agama dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO Sabah, semua yang ada kini terdiri daripada anak Sabah, malah ada bahagian dipimpin masyarakat KDM, sekali gus membuktikan UMNO bukanlah sebuah parti perkauman,” katanya.

Sehubungan itu, Fadilah meminta semua pihak di negeri ini menjaga keharmonian dengan menghentikan sebarang kenyataan berhubung dengan isu yang tiada kaitan dengan Sabah.

“Hentikan menyemarakkan api kebencian sesama kita, sebaiknya bersama-sama kita menghormati terutama berkaitan kedaulatan undang-undang dan kembalikan apa yang di luar jangkauan kita kepada pihak berkuasa,” katanya.

“Kalau satu kumpulan itu sedang marah, kita tambah minyak akhirnya akan jadi kebakaran lebih besar. Kalau satu kumpulan sedang marah atas sesuatu yang boleh diambil tindakan, biarlah pihak berkuasa bertindak,” katanya. – Info X