TENOM: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony melakukan tindakan berani apabila bersumpah yang keluarganya akan mendapat malapetaka sekiranya benar dia ada melakukan pemalsuan dokumen berkaitan kes mahkamah yang dihadapinya ketika ini.
Lafaz sumpah itu dibuat di hadapan lebih 1,000 orang yang hadir ke majlis ramah mesra Kaamatan anjuran KDM di Dewan Seri Antanom, di sini, pada Sabtu.

“Saya ingin nyatakan di sini, saya berani bersumpah yang saya bersama seluruh keluarga saya akan mati jika benar saya ada palsukan dokumen, tapi jika sebaliknya, saya percaya pada karma, mereka-mereka yang berkaitan akan menerima balasannya.
“Kes mahkamah ini satu ujian bagi saya, tapi saya tidak gentar kerana saya tidak pernah melakukannya (kes pemalsuan dokumen), dalam perjuangan kita harus ikhlas, tapi mungkin ada orang yang tidak senang dan sanggup berbuat jahat mahu menjatuhkan saya.
“Tidak apa, jika ditakdirkan saya masuk (penjara) pun saya akan keluar juga nanti dan teruskan perjuangan untuk rakyat, saya yakin perjuangan ini akan terus hidup, walaupun dengan ketiadaan saya,” katanya yang kemudian menerima sorakan dari orang ramai yang hadir.
Pada 18 April, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hampir sembilan tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas menolak rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam S Devanandan agar sabitan dan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan akhir di Mahkamah Rayuan.
Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, perjuangan seorang pemimpin sudah pasti mempunyai cabaran termasuk menghadapi fitnah dan dakwaan yang berniat jahat.

Bagaimanapun, katanya, jika seseorang pemimpin itu ikhlas dalam perjuangannya, kebaikan pastinya akan hadir juga.
“Kita lihat bagaimana sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim diperlakukan, dia didakwa, dipenjara dan macam-macam lagi, tapi akhirnya hari ini dia adalah Perdana Menteri kita.
“Sebab itu saya yakin dan ikhlas dalam perjuangan ini, saya yakin kemenangan pasti akan memihak kepada kita suatu hari nanti,” katanya. – Info X