Search

Kim Swee kecewa, penyakit hilang fokus masih hantui Sabah FC

May 28, 2023

Willie Jude

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukan itu masih dihantui ‘penyakit’ yang sama, iaitu hilang fokus selepas mendahului.

Katanya perkara itu turut berulang ketika mereka disingkirkan dalam saingan suku akhir Piala FA oleh KL City FC di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Pada perlawanan itu, skuad Badak lebih dulu mendahului namun terpaksa berputih mata selepas itu apabila kecundang 1-2.

Beliau berkata, dua aksi Liga Super sebelum juga menyaksikan Sabah di depan pada awal babak pertama, sebelum berubah pada akhir permainan.

Menurutnya, kelalaian membiarkan pemain lawan mencipta gol selepas berjaya mendahului pada minit awal permainan meletakkan pasukan pada kedudukan berbahaya yang kemudiannya berakhir dengan keputusan mengecewakan.”Kita tidak bermain seperti mana sebelum kita mendapat gol.

Selepas dapat gol pertama kita mulai hilang fokus di mana kita membiarkan KL City mendapatkan dua gol.

“Separuh masa kedua kita kembali menunjukkan kesungguhan tetapi bagi saya itu sudah terlambat di mana peluang yang kita ada gagal disempurnakan.

“Jadi sikap ini perlu dibaiki kerana tiga perlawanan kebelakangan ini kita dibolosi selepas mendahului tetapi kali ini kita gagal mendapat kemenangan,” katanya pada sidang media selepas aksi suku akhir Piala FA di Stadium Likas, malam ini.

Sabah FC mendahului 2-1 pada babak pertama menentang Terengganu FC sebelum kedudukan terikat 2-2 ketika akhir permainan dalam aksi Liga Super pada 19 Mei lalu.

Selasa lalu pula, Sabah mendahului 2 – 0 pada separuh masa pertama sebelum berubah menjadi 2-1 pada babak kedua juga dalam aksi Liga Super menentang Perak FC.

Kim Swee berkata, Sabah bernasib baik belum tewas dalam dua perlawanan itu, namun situasi menjadi sebaliknya ketika aksi suku akhir Piala FA sebentar tadi, memaksa pasukannya melupakan saingan seterusnya Piala FA bagi musim ini.

Dalam aksi menentang KL City yang bermula jam 5.45 petang semalam, gol pendahuluan Sabah dijaringkan Gabriel Peres melalui sepakan penalti pada minit keenam sebelum disamakan KL City pada minit ke-29, disusuli gol kemenangan pada minit ke-44.

Kim Swee berkata, selepas ini beliau perlu melihat semula banyak bahagian yang berlaku kelemahan sebelum memilih pemain untuk menggalas misi Sabah FC seterusnya dalam Liga Super.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak, berkata walaupun pasukannya memenangi saingan suku akhir Piala FA malam ini, ia bukan satu perlawanan yang mudah.

“Ia satu perlawanan yang sukar, tidak boleh samakan bermain di sini dengan di Kuala Lumpur kerana saya tidak fikir Sabah mengalami banyak kekalahan di sini (Stadium Likas), lebih-lebih lagi dalam keadaan stadium yang penuh dengan penyokong.

“Malah, permainan kita bermula agak buruk pada awal perlawanan, enam atau tujuh hantaran salah dan memberikan pula penalti kepada Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya perubahan rentak dan percaturan pasukannya kemudiannya membuahkan hasil apabila berjaya menyumbat dua gol, membolehkan KL City menyingkirkan Sabah untuk ke separuh akhir Piala FA bertemu Terengganu FC bulan depan. – Info X