Search

Jiran selamatkan tiga sekeluarga terperangkap dalam kebakaran

November 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan pantas jiran berjaya menyelamatkan nyawa tiga sekeluarga yang terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Inanam Laut, di sini, hari ini.

Jiran mangsa, Hermansyah Abdul Muis, 37, berkata ketika kejadian dia berada di rumah tidak jauh dari lokasi kejadian dan terdengar jeritan penduduk kampung rumah terbakar.

Hermansyah yang berjaya menyelamatkan tiga sekeluarga dalam kebakaran di Inanam Laut, Kota Kinabalu.

Katanya, dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum terdengar anak mangsa menjerit meminta tolong kerana ibu bapa dan abang masih berada di dalam rumah berkenaan.

“Anak jiran itu terus menjerit memanggil ibu bapanya. Pada masa itu garaj rumah terbakar dan belum merebak ke rumah mangsa.

“Tanpa berlengah saya dengan dua lagi jiran bergegas masuk ke rumah di bahagian bawah lalu membawa keluar ketiga-tiga mangsa berkenaan,” katanya yang juga seorang anggota bomba.

Hermansyah yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas berkata, dia kemudian menyerahkan ketiga-tiga mangsa kepada ahli keluarga dalam keadaan selamat.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Inanam Laut, Kota Kinabalu.

“Alhamdulillah, ketiga-tiga mangsa selamat tanpa kecederaan,” katanya.

Ketika kejadian, beliau secara kebetulan berada di rumah kerana tidak bertugas berikutan syif tugasnya pada sebelah malam.

Difahamkan, maklumat daripada pemilik rumah, punca kebakaran dipercayai akibat seorang lelaki tidak dikenali membakar bahagian semak di hadapan rumah tempat letak kereta sebelum api merebak ke sebuah tong gas berhampiran.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.46 petang.

“Seramai 24 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan dua rumah dan operasi pemadaman segera dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 3.15 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – Info X