KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengakui kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus berdepan cabaran akibat kemajuan sains dan teknologi.
Beliau mendakwa penggunaan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) mewujudkan ancaman baharu apabila dijadikan saluran untuk menyebarkan dakwaan dan fitnah.
Jelasnya, cabaran yang timbul menerusi kemajuan sains dan teknologi itu benar-benar menguji ketahanan kerajaan GRS-PH Plus menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) yang semakin dekat.
“Apa yang saya maksudkan ialah taktik kotor pembangkang dan konco-konco mereka yang bersekongkol ingin menjatuhkan kerajaan GRS-PH Plus melalui sebaran fitnah, pelbagai tuduhan dan pembohongan terhadap kerajaan negeri dan kepemimpinan parti.
“Inilah cabaran semasa yang wajib kita perangi habis-habisan kerana ia boleh meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan dan kepemimpinan parti, lebih- lebih lagi dalam era teknologi serba canggih sekarang, di mana media sosial dan teknologi AI menguasai kehidupan seharian rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Parti Liberal Demokratik (LDP) Ke-31, di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin dan barisan kepemimpinan LDP serta pemimpin kanan parti komponen GRS.
Hajiji berkata, cabaran baharu itu perlu diawasi, di samping beberapa lagi cabaran lain yang perlu ditangani, antaranya cabaran dalam menstabilkan politik dan cabaran untuk memulihkan semula ekonomi negeri.
“Alhamdulillah, kita berjaya mengharungi segala bentuk cabaran yang mendatang, malah berupaya pula memperkasa gabungan kita, GRS, di mana LDP adalah sebahagian daripada perjuangan ini yang bertekad mengekalkan kestabilan dan membawa kemakmuran demi kemajuan dan kesejahteraan yang berkekalan.
“Namun perlu diawasi, bahawa terdapat satu lagi cabaran lain, iaitu cabaran yang benar-benar menguji daya tahan kita. Cabaran ini wujud seiring dengan kemajuan sains dan teknologi serta ketamadunan umat manusia masa kini,” katanya.
Beliau berkata, segala pembohongan dan fitnah yang ditabur terhadap GRS, bukan saja perlu disangkal, malah wajar dipatahkan, agar rakyat tidak tertipu atau termakan hasutan disebabkan perbuatan mereka yang ingin menjatuhkan kerajaan secara kotor.
Sementara itu, Hajiji mengulangi pendiriannya untuk menawarkan GRS – PH Plus kepada rakyat negeri ini pada PRN17 nanti sejajar usaha meneruskan program pembangunan negeri dan mensejahterakan rakyat yang digerakkan sejak empat tahun lalu. – Info X