Search

JKNS siasat kemalangan kereta api di Tenom

March 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) mengaktifkan siasatan dalaman melalui Board Of
Enquiry (Badan Penyiasatan Dalam) berhubung kemalangan kereta api dan motosikal troli di laluan Tenom-Pangi, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, JKNS menjelaskan siasatan dalaman itu selaras dengan prosedur penyiasatan yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, JKNS juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Tenom berhubung insiden untuk makluman dan tindakan lanjut pihak berkuasa.

“Sebarang tindakan susulan Pihak JKNS adalah berdasarkan hasil laporan Board Of Enquiry, selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Enakmen Keretapi 2017.

“Insiden tersebut bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa. Pihak JKNS berasa kesal atas insiden yang berlaku.

“Pada masa ini, siasatan dalaman oleh pihak JKNS dan siasatan pihak Polis sedang giat dijalankan,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta api membawa guru dari pekan Tenom ke Kampung Pangi, dipercayai akibat masalah brek.

Kereta api terbabit dilaporkan merempuh enam motosikal troli yang dijadikan penghadang oleh penduduk kampung bagi menghentikan gerabak kereta api.

Insiden itu berlaku di landasan Tenom-Pangi pada 3 Mac lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata pihaknya sudah meminta laporan berhubung insiden itu daripada Pengarah JKNS.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, berkata laporan itu akan dibentangkannya pada Mesyuarat Jemaah Menteri 11 Mac ini.

“Laporan siasatan awal telah diberikan kepada saya, dan laporan ini juga telah dipanjangkan kepada pejabat YAB Ketua Menteri Sabah hari ini.

“Saya akan membentangkan laporan siasatan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 11 Mac 2026, minggu hadapan.

“JKNS juga telah mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan kejadian tersebut,” katanya.-Info X