Search

Panjat pokok kelapa pun tidak selamat

March 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Cubaan seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi dengan memanjat pokok kelapa bagi mengelak dicekup pihak berkuasa akhirnya gagal apabila dia berjaya ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, hari ini.

Lelaki terbabit dipercayai bertindak demikian selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan sebelum berjaya dipujuk turun dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi malam ini, JIM Sabah memaklumkan seramai 81 warga asing termasuk lelaki berkenaan ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan menerusi Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Belanja.

Katanya, operasi itu dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu dan Sipitang.

“Dalam operasi berkenaan seramai 202 individu telah diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 81 daripadanya melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Daripada jumlah yang ditahan, 74 individu merupakan warganegara Filipina membabitkan 27 lelaki dewasa, 22 perempuan dewasa, 10 kanak-kanak lelaki dan 15 kanak-kanak perempuan.

Selain itu, turut ditahan tiga lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa warga Indonesia, serta dua lelaki dewasa warga Pakistan.

Semua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, selain Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Menurut JIM Sabah, kesemua tahanan telah dihantar ke Depot Imigresen bagi menjalani proses dokumentasi sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JIM Sabah turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara konsisten tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara.

“Operasi akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu. – Info X