Search

Notis usul tangguh Geran Khas 40 peratus Sabah bukti ketidakikhlasan Kerajaan Persekutuan – Madius

March 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan memfailkan notis usul untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan Geran Khas 40 peratus Sabah sebagai bukti ketidakikhlasan yang nyata dalam menangani isu hak negeri itu.

Beliau berkata, dokumen Notis Usul yang difailkan pada Februari 2026 itu memohon supaya pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025 yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam tuntutan Geran Khas 40 peratus ditangguhkan.

Menurutnya, tindakan berkenaan bercanggah dengan kenyataan sebelum ini yang memberi gambaran bahawa kerajaan tidak berniat menghalang pelaksanaan keputusan mahkamah.

“Ini memperlihatkan satu corak ketidakikhlasan yang nyata. Pada 11 November 2025, Perdana Menteri menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi, bukan terhadap keputusan mengenai hak 40 peratus Sabah.

“Namun, tindakan memfailkan notis usul untuk menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah ini menimbulkan persoalan besar terhadap kenyataan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Madius berkata, walaupun kerajaan berulang kali menafikan cubaan menghalang pelaksanaan keputusan mahkamah, permohonan untuk menggantung perintah itu menunjukkan sebaliknya.

Katanya, tindakan tersebut seolah-olah memperlihatkan bahawa di hadapan rakyat kerajaan memberi jaminan berhubung komitmen terhadap hak Sabah, namun pada masa sama menggunakan saluran undang-undang untuk menangguhkan pelaksanaannya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa langkah penting itu dilakukan tanpa pemakluman terbuka kepada rakyat Sabah.

“Jika kerajaan benar-benar serius untuk memulangkan hak Sabah, mengapa perlu memohon untuk menggantung pelaksanaan perintah mahkamah? Persoalan ini wajar dijelaskan secara telus kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, keengganan melaksanakan keputusan mahkamah serta usaha berterusan untuk menangguhkannya boleh dilihat sebagai satu bentuk penghinaan terhadap institusi kehakiman.

Tangau menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi telah mendengar hujah berkaitan perkara itu dan membuat keputusan yang menyentuh hak Sabah berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, khususnya Perkara 112C dan 112D.

Beliau berkata, tuntutan Geran Khas 40 peratus bukan isu politik semata-mata, sebaliknya berkaitan hak yang termaktub dalam perlembagaan serta dipersetujui ketika pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mahkamah telah mengeluarkan perintah dan kerajaan seharusnya melaksanakannya. Sabah hanya menuntut keadilan dan hak yang telah dijamin dalam perlembagaan,” katanya. – Info X