Search

Lelaki ditahan, ketamin RM8,193 dirampas

March 6, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki diberkas selepas dipercayai memiliki dadah jenis ketamin seberat 54.62 gram bernilai kira-kira RM8,193 dalam operasi dijalankan di daerah ini, awal pagi tadi.

Suspek warga tempatan berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui 19 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis ketamin.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 19 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis ketamin yang dianggarkan seberat 54.62 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM8,193.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga mendapati lelaki itu positif dadah jenis ketamin dan tetrahydrocannabinol (THC),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti dadah. – Info X