Search

JKR cuba produk aspal berprestasi tinggi tampal jalan berlubang

January 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Cawangan Penyenggaraan Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan kerja percubaan produk baharu menampal jalan rosak dan berlubang menggunakan 𝐀𝐇𝐍𝐓𝐄𝐂𝐇 𝐕𝐓𝐗-𝐒𝐮𝐩𝐞𝐫 𝐅𝐢𝐛𝐞𝐫 𝐑𝐞𝐢𝐧𝐟𝐨𝐫𝐜𝐞𝐝 𝐀𝐥𝐥 𝐖𝐞𝐚𝐭𝐡𝐞𝐫 𝐂𝐨𝐥𝐝 𝐌𝐢𝐱 𝐀𝐬𝐩𝐡𝐚𝐥𝐭.

Kerja percubaan itu dilakukan di Jalan Tuaran Bypass dengan disaksikan sendiri Pengarah JKR Sabah, Datuk Ir Philemon Lajawai dan Timbalan Pengarah Sektor Jeraya, Baharuhom KK Sogon pada Rabu.

Berdasarkan perkongsian di Facebook JKR Sabah, kerja percubaan itu membabitkan penyertaan pelbagai cawangan teknikal JKR Sabah, termasuk Cawangan Jalanraya, Projek Jalan Luar Bandar, Lebuhraya, Cerun, Jambatan serta Trafik dan Pengangkutan.

Katanya, usaha itu bagi menilai keberkesanan bahan baharu dalam pelaksanaan kerja penyelenggaraan jalan.

Menurut perkongsian itu, 𝐀𝐇𝐍𝐓𝐄𝐂𝐇 𝐕𝐓𝐗-𝐒𝐮𝐩𝐞𝐫 𝐅𝐢𝐛𝐞𝐫 𝐑𝐞𝐢𝐧𝐟𝐨𝐫𝐜𝐞𝐝 𝐀𝐥𝐥 𝐖𝐞𝐚𝐭𝐡𝐞𝐫 𝐂𝐨𝐥𝐝 𝐌𝐢𝐱 𝐀𝐬𝐩𝐡𝐚𝐥𝐭 adalah bahan asfalt 𝐜𝐨𝐥𝐝 𝐦𝐢𝐱 berprestasi tinggi yang diperkuat dengan gentian sintetik dan direka khas untuk kerja pembaikan serta penampalan lubang jalan secara kekal dalam semua keadaan cuaca tanpa pemanasan, termasuk ketika basah atau hujan, serta membolehkan pembukaan trafik segera selepas pemadatan.

Ketika ini, isu jalan berlubang banyak diluahkan pengguna jalan raya di seluruh negeri, manakala di ibu negeri, antara lokasi yang sering berdepan masalah itu ialah di laluan Tebobon-Tuaran.

Ia bukan saja menjejaskan keselesaan pemanduan, malah menimbulkan masalah keselamatan pengguna jalan raya dan kerosakan kenderaan. – Info X