Search

Tubuh jawatankuasa rentas parti pastikan pemulangan 40 peratus hasil Sabah dilaksanakan – Tham Yun Fook

January 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan segera sebuah jawatankuasa khas merentasi parti berkaitan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemulangan 40 peratus hasil cukai bersih kepada Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata jawatankuasa itu merangkumi wakil kerajaan negeri, ADUN pembangkang, pakar perundangan dan pihak berkepentingan yang relevan.

“Jawatankuasa ini bertujuan untuk memastikan proses perundingan dijalankan secara berfakta, telus dan berkesan, serta memastikan hak 40 peratus hasil cukai Sabah dapat direalisasikan dengan segera dan teratur.

“Penubuhan jawatankuasa sedemikian akan mencerminkan kesungguhan dan kematangan institusi Kerajaan Negeri Sabah dalam mempertahankan haknya berlandaskan undang-undang, di samping mengelakkan isu penting ini terus dipolemikkan secara tidak konstruktif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, pemulangan 40 peratus hasil cukai yang dikutip dari Sabah itu bukan isu politik kepartian, sebaliknya soal hak perlembagaan dan kepentingan jangka panjang rakyat Sabah.

Atas sebab itu, katanya ia wajar ditangani secara bersatu, berprinsip dan berfokus terhadap usaha penyelesaian.

Yun Fook berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu mengambil kira garis masa pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini yang sudah mencapai tempoh 90 hari, semalam.

“Walaupun pelbagai penjelasan telah dikemukakan, hakikatnya 90 hari telah berlalu sejak keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dibuat. Namun begitu, rakyat Sabah masih belum dimaklumkan secara jelas dan rasmi mengenai langkah-langkah konkrit serta garis masa pelaksanaan pemulangan 40 peratus hasil cukai ini.

“Kelewatan ini hanya akan menimbulkan persepsi bahawa keputusan mahkamah tidak diberikan keutamaan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi adalah perintah yang mengikat dari segi undang-undang dan pelaksanaannya tidak seharusnya ditangguhkan atas alasan pentadbiran atau pertimbangan politik.

Katanya, isu itu menbabitkan hak perlembagaan Wilayah Sabah dan keupayaan Kerajaan Negeri untuk merancang serta melaksanakan pembangunan secara mampan demi kesejahteraan rakyat. – Info X