Search

JKR, JPS diberi kuasa urus projek persekutuan sehingga RM50 juta

May 23, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini diberi kuasa sebagai Agensi Pelaksana bagi perolehan Kerajaan termasuk perkhidmatan perunding untuk projek pembangunan fizikal Kerajaan Persekutuan di Sabah dengan had nilai sehingga RM50 juta.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata, jabatan berkenaan juga diberi kuasa untuk mempelawa, membuka, menilai, mengesyor dan memperaku tender untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Perolehan Kerajaan Sabah.

“Selaras dengan hasrat dan semangat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63), Kementerian Kewangan Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Perolehan Kerja Projek Pembangunan Persekutuan Yang Dilaksanakan Oleh Jabatan Teknik Negeri Sabah dan Sarawak bertarikh 1 Mac 2023.

“Menurut garis panduan tersebut Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah diiktiraf sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.

“Susulan dari pengiktirafan tersebut, Kerajaan Negeri melalui JKR dan JPS adalah diberi kuasa sebagai agensi pelaksana bagi perolehan kerajaan termasuk perkhidmatan perunding untuk projek pembangunan fizikal kerajaan persekutuan di Sabah dengan had nilai sehingga RM50 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari berkenaan status peruntukan daripada kerajaan persekutuan yang bernilai RM50 Juta kepada kerajaan negeri dan apakah pihak kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengurus peruntukan dan perolehan berkenaan.

Julita berkata, tatacara perolehan bagi projek-projek berkenaan adalah berdasarkan Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling Perbendaharaan Persekutuan yang berkuatkuasa.

Katanya, bagi kuasa mengurus peruntukan, pada masa ini masih dikekalkan di bawah Kementerian Pelanggan di mana peruntukan akan disalurkan oleh Kementerian Pelanggan kepada Jabatan Teknik Sabah berdasarkan permohonan unjuran tahunan.

“Kerajaan Negeri setakat ini belum menerima apa-apa peruntukan memandangkan mesyuarat belum dilaksanakan di peringkat Kerajaan Negeri.

“Walau bagaimanapun, dijangka mesyuarat pertama akan diadakan pada bulan Jun 2023,” katanya.

Sementera itu, Julita berkata, Lembaga Perolehan kerajaan negeri hanya boleh mempertimbangkan dan menyetujui terima tender dengan syarat keputusan yang dibuat adalah sebulat suara dan tidak melebihi had nilai dan kuasa yang ditetapkan.

Katanya, keputusan yang tidak sebulat suara atau melebihi had nilai dan kuasa Lembaga Perolehan Kerajaan Negeri hendaklah dikemukakan ke Kementerian Kewangan Malaysia untuk keputusan muktamad.

“Dengan erti kata lain, Lembaga Perolehan kerajaan negeri diberi punca kuasa sepenuhnya bagi memutuskan pelantikan dan keputusan adalah muktamad.

“Bagi pemantauan ke atas pelaksanaan dan kemajuan projek pula, ia adalah dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Teknik, Kementerian Pelanggan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Jabatan Teknik adalah bertanggungjawab memastikan maklumat dan kemajuan projek dikemaskini di platform dalam talian yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X