Search

JPJ Sabah gempur lori langgar peraturan, 88 saman dikeluarkan

January 24, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap kenderaan perdagangan yang melanggar peraturan apabila 88 notis saman dikeluarkan dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di sepanjang Jalan Pan Borneo Papar – Jalan Bukit Manggis – Benoni.

Operasi yang dijalankan dari 20 hingga semalam itu dilaksanakan susulan aduan orang awam berhubung pergerakan lori berat yang didakwa melanggar peraturan serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, termasuk di kawasan berhampiran Hap Seng Quarry Sdn Bhd.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 627 kenderaan diperiksa dengan 59 daripadanya diambil tindakan, termasuk dua kenderaan disita dan satu kes lebih muatan dibawa ke mahkamah.

Menurutnya, sebanyak 10 kenderaan turut ditimbang, manakala jumlah kompaun yang dikeluarkan mencecah RM12,150 hasil pelbagai kesalahan dikesan sepanjang operasi berkenaan.

“Fokus pemeriksaan dan penguatkuasaan adalah terhadap kesalahan utama termasuk lebih muatan serta membawa muatan panjang dan berbahaya.

“Selain itu, kesalahan lain iaitu membabitkan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, insurans tamat tempoh atau tidak sah, lesen memandu Malaysia (LMM) tamat tempoh atau tiada, tiada lesen vokasional (GDL), selain sijil perakuan pemeriksaan berkala yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota JPJ melakukan pemeriksaan lori dalam Operasi Khas Gempur di sepanjang Jalan Pan Borneo Papar – Jalan Bukit Manggis, Benoni, Papar.

Katanya lagi, operasi ini dijalankan secara bersasar terhadap pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan yang mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan nyawa pengguna jalan raya.

Beliau menegaskan JPJ Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya dan mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan pengguna.

“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan, termasuk tindakan pendakwaan di mahkamah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

“Tiada kompromi terhadap keselamatan jalan raya,” tegasnya. – Info X