Search

Universiti Al-Azhar sedia tawar biasiswa kepada pelajar Sabah

January 24, 2026

Info X Reporters

KAHERAH: Universiti Al-Azhar Al-Sharif menyatakan kesediaan menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia khususnya dari Sabah, sekali gus memperkukuh kerjasama pendidikan Islam antara Kerajaan Negeri Sabah dan institusi pengajian Islam terkemuka dunia itu.

Perkara berkenaan dibincangkan dalam pertemuan rasmi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, bersama Wakil Universiti Al-Azhar Al-Sharif yang juga Timbalan Syeikh Al-Azhar, Prof Dr Muhammad Al-Dhuwaini, di pejabatnya, di sini, semalam.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Sektor Institut Al-Azhar, Sheikh Dr Ayman Abdul Ghani serta Setiausaha Agung Majma‘ Al-Buhuth Al-Islamiyyah, Prof Dr Mohammad Al-Jundi, bagi membincangkan pengukuhan kerjasama dalam bidang pendidikan Islam, latihan imam dan pendakwah serta dakwah berteraskan konsep wasatiyyah.

Mohd Arifin berkata, selain tawaran biasiswa, pihak Al-Azhar turut bersetuju memperluas kerjasama menerusi program berkembar antara institusi pengajian Islam di Sabah dengan Universiti Al-Azhar Al-Sharif.

Menurutnya, Timbalan Syeikh Al-Azhar turut memuji adab dan akhlak pelajar Malaysia khususnya dari Sabah yang menuntut di Mesir.

“Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sumbangan menaja serta menyediakan peralatan dan keperluan bagi pembinaan Dewan Al-Imam Al-Tayeb di Akademi Antarabangsa Al-Azhar,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Mohd Arifin turut menjemput wakil Al-Azhar termasuk Timbalan Syeikh Al-Azhar untuk berkunjung ke Sabah bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala.

Katanya, Sabah bersedia untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Universiti Al-Azhar sejajar dengan aspirasi Kerajaan Madani serta hala tuju pembangunan negeri melalui gagasan Sabah Maju Jaya.

Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih. – Info X