KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah melaksanakan pelupusan barang kes dadah membabitkan 6,382 kertas siasatan dengan nilai keseluruhan lebih RM4.4 juta, Ogos lalu.
Pelupusan itu dijalankan di Tapak Pelupusan Kualiti Alam, Port Dickson, Negeri Sembilan dan dihadiri Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil bersama pegawai serta anggota Bahagian Perundangan/Naziran JSJN Sabah.

Turut hadir sebagai semak imbang proses ialah Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Haji Ahmad bin Haji Jawila.
Menurut kenyataan hari ini, pelupusan itu dilaksanakan mengikut prosedur ketat dan teratur bagi memastikan semua dadah yang dirampas dimusnahkan sepenuhnya serta mengelakkan sebarang salah guna atau spekulasi awam.

Antara jenis dadah yang dilupuskan ialah 95,732.446 gram syabu, 27,039.4 gram ganja, 2,395.078 gram Eramin 5, 4,857.9 gram ekstasi, 3,518.04 gram ketamin serta 174,205.1 gram mitragynine.
Kesemua barang kes yang hendak dilupuskan dimasukkan ke dalam kontena bernombor siri sebelum melalui proses pengeluaran, penghancuran sehingga menjadi partikel kecil dan seterusnya dibakar sepenuhnya.

Sebanyak dua pallet bersamaan 50 kotak barang kes dilupuskan dalam operasi berkenaan dengan anggaran nilai keseluruhan RM4,405,848.54.
JSJN Sabah memaklumkan pelupusan barang kes dadah dilaksanakan setiap tahun dan akan diteruskan pada 2026 bagi memastikan integriti pengurusan barang kes sentiasa terpelihara. – Info X