KOTA KINABALU: Seramai 33 individu ditahan manakala puluhan ribu peranti rokok elektronik dan vape dirampas dalam Op e-CIG (e-Cigarette) Mega yang dilaksanakan serentak di tujuh daerah di Sabah, Selasa lalu.
Operasi bersepadu dikenali sebagai Op Taring Alpha 3 itu dilancarkan Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sabah.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Nor Omar Sappi berkata, operasi yang dijalankan antara jam 2 petang hingga 8 malam itu membabitkan tujuh daerah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Beluran, Keningau dan Semporna.
Menurutnya, seramai 278 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi berkenaan termasuk 164 dari PDRM, 53 (KKM), empat (JKDM) dan 55 (PBT).
“Hasil operasi, seramai 33 individu berusia antara 20 hingga 47 tahun ditahan membabitkan 24 lelaki dan sembilan wanita, kesemuanya warga tempatan. Semua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kita turut merampas 16,925 unit peranti rokok elektronik dan vape, 219,959 liter cecair e-liquid serta 95 unit lain-lain barangan dengan anggaran nilai keseluruhan RM1,728,034,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 10(1) Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024) yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan pertama atau RM30,000 bagi kes kedua dan seterusnya, atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, katanya siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 8 akta sama berkaitan larangan pengiklanan, promosi dan tajaan produk tembakau, selain Seksyen 3(1) Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948
Menurutnya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan serta tindakan lanjut.
“Operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani isu kesihatan awam serta membanteras penjualan dan pengedaran vape secara haram.
“Kita juga mahu melindungi golongan muda daripada terjerumus dalam penggunaan vape yang mungkin dicampur bahan terlarang seperti ganja,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penjualan serta pengedaran peranti rokok elektronik dan cecair e-liquid yang menyalahi undang-undang di Sabah. – Info X