Search

Detik cemas dua keluarga, dewan roboh hempap rumah

February 14, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Dua keluarga melalui detik cemas apabila sebuah dewan kayu dibina di atas air tiba-tiba roboh sebelum menghempap kediaman mereka di Kampung Air, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, enam penghuni termasuk dua kanak-kanak sedang berada di dalam rumah masing-masing sebelum terdengar bunyi dentuman kuat disusuli gegaran pada struktur lantai dan dinding.

Mereka bertindak pantas menyelamatkan diri sebaik menyedari dewan bersebelahan runtuh dan menimpa bahagian rumah.

Penghuni dipindahkan ke rumah keluarga berhampiran untuk perlindungan sementara.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Suheizan Sahak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.49 malam.

Menurutnya, enam anggota dari BBP Atas Air Semporna kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah dewan tidak kekal berkeluasan kira-kira 557 meter persegi roboh dan menghempap dua rumah masing-masing berkeluasan kira-kira 56 meter persegi serta 111 meter persegi.

“Semua penghuni iaitu empat dewasa dan dua kanak-kanak berjaya keluar dengan selamat sebelum ketibaan bomba dan dipindahkan ke rumah keluarga berhampiran untuk perlindungan sementara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba memeriksa lokasi kejadian dewan roboh hempap dua rumah di Kampung Air, Semporna

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dan semua penghuni berada dalam keadaan selamat.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat selain mengalihkan serpihan secara berhati-hati berikutan struktur berada di atas air.

“Operasi yang menggunakan sebuah bot aluminium itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.03 malam selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal,” katanya. – Info X