Search

“Mama sudah bayar RM7,000” – Luahan anak dalam live TikTok bongkar konflik sebelum tragedi

February 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Lelaki itu bersetuju putus, tapi dia minta RM7,000. Mama sudah bayar.” Demikian kata salah seorang anak mangsa ketika menceritakan konflik pertunangan mamanya yang dipercayai menjadi titik mula kepada tragedi pembunuhan itu.

Dia yang berkongsi perkara itu menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok berkata, sepanjang tempoh pertunangan kira-kira dua hingga tiga bulan, hubungan ibunya dengan lelaki terbabit sering berlaku pertengkaran mulut akibat perbezaan pendapat dan kurang sefahaman.

“Bila sudah selalu bergaduh, mama buat keputusan untuk tidak teruskan.

“Dia datang jumpa keluarga dan setuju putus, tapi minta RM7,000. Mama sudah bayar,” katanya.

Dalam siaran langsung itu, anak mangsa mendedahkan, selepas pertunangan diputuskan, anak mangsa mendakwa dia sudah menasihati ibunya supaya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki berkenaan, walaupun sekadar berkawan.

“Namun begitu, walaupun hubungan sudah berakhir, lelaki (pelaku) terbabit masih mengganggu ibu saya. Pelaku tidak menggunakan satu nombor telefon sahaja, sebaliknya menghubungi menggunakan enam nombor berbeza.

“Dalam masa yang sama, saya ada menasihati ibu supaya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki terbabit. Walaupun sekadar berkawan. Saya meminta supaya ibu menjauhkan diri sepenuhnya daripada individu itu.

“Ibu saya bersetuju dan berkata dia akan mengikut nasihat saya serta melakukan apa yang terbaik demi kebaikan bersama,” katanya.

Sambung anaknya lagi, mamanya kemudian mengenali seorang lelaki lain dan tidak lama mereka berkahwin pada awal Januari lalu.

Menceritakan sehari sebelum kejadian, anak mangsa berkata pada Selasa minggu terbabit, ibunya menghadiri majlis kenduri sebelum pulang ke rumah dan keluar semula pada sebelah petang selepas memaklumkan mahu berjumpa seseorang bagi urusan tertentu.

“Pada jam 5 hingga 6 petang, ibu gagal dihubungi. Panggilan telefon dan mesej tidak berjawab, malah telefonnya tidak lagi aktif.

“Kami mula risau sebab mama biasanya akan telefon kalau sudah lewat. Abang saya tidak tidur satu malam, setiap setengah jam dia cuba hubungi mama sampai pagi.

“Keesokan harinya, keluarga dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang wanita. Hati mereka mula tidak sedap apabila melihat perkongsian di media sosial yang memaparkan sebahagian anggota badan mangsa.

“Saya kenal tangan mama saya. Memang itu tangan dia,” katanya.

Jelasnya, keluarga kemudian dipanggil ke balai polis untuk proses pengecaman sebelum mengesahkan mayat itu adalah ibunya.

“Selepas keluarga memaklumkan kepada polis mengenai bekas tunang sebagai individu yang disyaki, pihak berkuasa menyerbu rumah lelaki terbabit dan menemui kesan darah dalam jumlah yang banyak selain beberapa barangan dipercayai milik mangsa.

“Suspek akhirnya ditahan ketika mendapatkan rawatan di hospital, manakala anaknya turut dipanggil membantu siasatan.

Menceritakan proses pengkebumian ibunya, dia berkata, mama kemudiannya dikebumikan walaupun anggota tubuhnya tidak lengkap.

“Masih terdapat beberapa bahagian anggota badan yang belum ditemui, namun keluarga mengambil keputusan untuk meneruskan pengebumian bagi menghormati arwah.

“Kami reda dan bersyukur mama sudah selamat dikebumikan,” katanya. – Info X