Search

Polis, suspek cedera dalam pergelutan, satu das tembakan dilepaskan

February 13, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang anggota polis dan seorang suspek lelaki cedera selepas berlaku pergelutan ketika cubaan menahan individu terbabit dalam kejadian di kawasan pusat komersial Bazong, di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 10.45 pagi itu berlaku ketika dua anggota polis sedang tugas rondaan bit dan cegah jenayah di Jalan Persisiran Pantai sebelum menahan dan memeriksa sebuah Perodua Viva berwarna putih yang dipandu seorang lelaki.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya sebelum dikejar anggota bertugas.

Katanya, usspek berjaya ditahan di kawasan pusat komersial Bazong Tawau.

“Bagaimanapun, ketika proses pemeriksaan dan tangkapan dibuat, berlaku pergelutan apabila suspek enggan memberi kerjasama serta bertindak agresif.

“Dalam keadaan itu, pistol milik anggota bertugas berada di tangannya dan terlepas satu das tembakan yang mengenai tangan kiri suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi anggota yang membantu melaksanakan tangkapan turut mengalami kecederaan di bahagian paha kanan ketika pergelutan berkenaan.

“Kedua-dua yang cedera dibawa ke Hospital Tawau dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan yang ditinggalkan suspek menemui serbuk disyaki dadah jenis syabu.

“Pihak polis masih meneruskan siasatan dalam kes ini,” katanya. – Info X