PENAMPANG: Sambutan Kaamatan membawa pengertian yang lebih luas, bukan hanya mengenai hasil tuaian bagi menjamin bekalan makanan, malah memperkasa semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata itu tujuan sambutan Kaamatan yang sangat penting sejajar usaha mengekalkan kestabilan sosial, politik, ekonomi dan pembangunan yang teratur serta mampan.
Selain itu, katanya sambutan Kaamatan juga berupaya membantu memulihara dan mempromosikan budaya serta keunikan masyarakat Sabah agar lebih ramai pelancong dari luar negeri berkunjung ke Sabah selain menarik lebih ramai pelabur asing.

“Rumah-rumah tradisi di perkarangan KDCA umpamanya mempamerkan tarian, alat muzik, pakaian tradisi dan menghidangkan makanan tradisi untuk pengunjung yang datang ke KDCA semasa Pesta Kaamatan.
“Sambutan Pesta Kaamatan ini adalah salah satu platform terbaik untuk mengeratkan keharmonian dalam masyarakat memandangkan ia melibatkan penyertaan dari semua suku etnik di negeri Sabah dengan kepelbagaian budaya yang merangkumi pakaian, tarian dan makanan,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Pesta Kaamatan 2024 di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Yang turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Huguon Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini bertemakan Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan atau dalam Bahasa KadazanDusun disebut Kaamatan, Poingalib Kohimaganan Taakanon.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, berkata pengisian program Pesta Kaamatan pada kali ini turut memberi lebih banyak peluang kepada belia terutamanya generasi Gen-Z untuk terlibat dalam Pesta Kaamatan.
“Antaranya ialah melalui acara Buvazoi Tavantang, pelaksanaan Sukan Rakyat di Institut Pengajian Tinggi dan sekolah menengah, pertandingan nyanyian dan tarian kreatif khusus untuk pelajar-pelajar sekolah.
“Penglibatan belia terutamanya Gen-Z diyakini akan membantu dalam usaha mengekal serta memelihara budaya serta adat tradisi agar tidak pupus ditelan zaman,” katanya.
Beliau berkata, selain menumpukan keterjaminan bekalan makanan dan promosi budaya, Pesta Kaamatan juga adalah platform untuk mewujudkan peluang perniagaan dan memperluaskan aktiviti perdagangan dalam kalangan rakyat tempatan.

Jelasnya, usahawan tempatan berpeluang untuk mempromosi dan memasarkan produk yang dihasilkan secara langsung di gerai KDCA, atau semasa program lain yang dijalankan sepanjang bulan Kaamatan.
“Tidak dinafikan, produk-produk seni kreatif yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan tempatan semakin mendapat pasaran meluas termasuk pasaran antarabangsa.
“Aktiviti promosi dan penjualan produk-produk tradisi mudah dibuat menggunakan media sosial pada masa kini,” katanya. – Info X