KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas terpaksa menahan sakit hampir 20 minit selepas kaki kanannya tersepit di celah besi penutup parit.
Kejadian berlaku di bahu jalan di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, malam ini.
Mangsa berusia 61 tahun dikatakan sedang berjalan di kawasan berkenaan sebelum kakinya terperosok di celah besi penutup parit berkenaan.
Orang ramai cuba membantu namun gagal sebelum menghubungi bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.25 malam sebelum sembilan anggota bersama jentera bergerak ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati kaki kanannya tersepit di dalam sebuah penutup parit di bahu jalan.
“Pasukan bomba mengeluarkan kaki mangsa dengan menggunakan peralatan khas (hydraulic power unit).
“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, operasi ditamatkan pada 8.42 malam. – Info X