Search

PRN17: UMNO-BN sedia lawan GRS – Bung Moktar

June 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO Sabah menyambut secara terbuka jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia untuk bersaing secara demokratik pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pertembungan bukan sesuatu yang menakutkan dalam amalan demokrasi.

Malah, katanya ia adalah medan terbaik untuk menilai siapa sebenarnya mendapat kepercayaan rakyat berdasarkan kekuatan sendiri, bukan sokongan pinjaman atau formula pintas.

“Kepada GRS jika benar bersedia untuk bersaing secara demokratik, kami menyambutnya dengan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berhubung kesediaan GRS untuk menghadapi BN, khususnya UMNO Sabah, pada PRN17 akan datang.

Ketua UMNO Sabah itu, berkata sudah tiba waktunya rakyat Sabah, khususnya generasi muda dan kelas menengah yang semakin celik politik untuk menilai semula landskap pilihan yang ditawarkan.

“BN Sabah hadir bukan dengan slogan, tetapi dengan rekod. Kita pernah memimpin negeri ini ke arah pembangunan, kita juga pernah diuji. Kini, kita kembali dengan tekad untuk memperbaiki, bukan sekadar mengulangi.

“Dalam ilmu politik, legitimasi tidak datang dari jumlah kerusi semata-mata, tetapi dari keyakinan rakyat terhadap kejujuran perjuangan,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata secara prinsipnya, kenyataan Armizan sebelum ini adalah manifestasi daripada dinamika biasa dalam sistem demokrasi berbilang parti yang menyaksikan pertembungan antara aktor politik yang beroperasi dalam ruang yang sama, namun berbeza asas legitimasi dan struktur keabsahan.

Maka, katanya ia bukanlah sesuatu yang luar biasa, bahkan boleh dianggap sebagai perkembangan positif jika ditanggapi dalam kerangka persaingan idea dan dasar yang sihat.

“Namun demikian, perlu saya tegaskan bahawa UMNO BN Sabah tidak menyesuaikan kedudukannya semata-mata berdasarkan kenyataan pihak lain.

“Kita tidak menunggu lampu hijau daripada mana-mana pihak untuk menyatakan pendirian atau mengatur langkah.

“Lebih penting daripada itu, kenyataan ini perlu dinilai dalam kerangka yang lebih luas iaitu soal keabsahan politik, autonomi strategik dan kejujuran dalam kerjasama antara parti,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata BN bukan menolak kerjasama, tetapi ia tidak mahu bekerjasama hanya untuk menghiasi angka atau mengabsahkan kekuasaan yang rapuh.

“Kami mahu berkawan dan bekerjasama dengan mereka yang jujur bukan sekadar dalam perjanjian di atas kertas, tetapi jujur dalam pelaksanaan dasar, dalam menghormati peranan rakan dan dalam memelihara integriti sistem politik.

“Kerjasama politik tanpa kejujuran ibarat membina rumah atas lumpur, ia mungkin berdiri sebentar, tetapi pasti runtuh dalam ujian.

“BN tidak akan lagi membina di atas lumpur. Kami telah belajar, dan rakyat juga telah menyaksikan persefahaman yang tidak berpaksikan niat yang tulus hanya melahirkan kerajaan yang lemah, tidak konsisten dan tidak diyakini,” katanya. – Info X