KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki nyaris lemas selepas dibawa arus ketika mandi bersama rakannya di sungai Kampung Baru Durok, di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun tindakan pantas beberapa penduduk kampung berjaya menyelamatkan kanak-kanak lelaki terbabit daripada lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Timbalan Penguasa Bomba, Julius John Stephen JR berkata, mangsa berusia 12 tahun itu dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakannya di sungai berkenaan.
Katanya, kejadian kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa dan pihak bomba menerima panggilan jam 1.34 petang.
“Bertindak dengan maklumat, tiga anggota BBP Keningau bersama jentera bergerak ke lokasi sejauh lapan kilometer bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung,” ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, mangsa berjaya ditemui dan diselamatkan jam 1 tengah hari, sebelum ketibaan bomba di lokasi.
“Mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat dan pasukan bomba ke rumah mangsa untuk mendaptkan maklumat terperinci.
“Operasi ditamatkan ditamatkan pada jam 2.20 petang,” katanya. – Info X