KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan mendakwa UMNO Sabah gagal menepati janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata, atas sebab itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tidak layak menerima kepercayaan rakyat.
Jelasnya, hanya dua hari sebelum hari penamaan calon pada PRN16, UMNO Sabah dan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk bertanding di 27 kerusi, namun mengingkari perjanjian itu dan akhirnya bertanding di 41 kawasan.
“Namun sekarang, Bung Moktar tanpa rasa malu bercakap tentang memilih rakan politik yang menepati janji,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.
Katanya, pada PRN16, UMNO Sabah bertanding di 32 kerusi, manakala Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA masing-masing bertanding di lima dan empat kerusi, menjadikan 41 kerusi ditandingi BN.
“Bung Moktar bercakap seolah-olah dia boleh dipercayai, sedangkan apa yang berlaku pada 2020 adalah satu pengkhianatan saat akhir yang jelas dilakukan olehnya,” katanya.
Sebelum ini, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, menyatakan bahawa UMNO Sabah hanya akan bekerjasama dengan parti yang menunaikan janji, berdasarkan pengalaman lalu yang mengajar mereka untuk lebih berhati-hati dalam memilih sekutu politik.
Sementara itu, Jeffrey yakin parti pembangkang sedang menuju ke arah kekalahan besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
PRN17 perlu diadakan selewat-lewatnya pada 6 Disember tahun ini, selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sabah jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terbubar sendiri pada Oktober depan.
Jeffrey yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, gabungan itu sudah bersedia menghadapi pilihan raya dan yakin rakyat akan menyokong mereka.
Beliau berkata, Sabah berada dalam keadaan stabil di bawah kepimpinan GRS-PH Plus yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jelasnya, kestabilan itu amat penting untuk kesejahteraan rakyat, selain sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri.
Namun, katanya pembangkang terus melemparkan pelbagai tuduhan dan serangan terhadap kerajaan GRS-PH Plus.
“Apa sahaja fitnah yang disebarkan oleh pembangkang akhirnya tidak akan membawa makna apabila tiba saat genting,” katanya.
GRS terdiri daripada gabungan lapan parti iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS). – Info X