Search

Kanak-kanak setahun hilang di ladang sawit

June 1, 2023

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang di kawasan ladang sawit di Paris, di sini, pada 30 Mei lalu.

Mangsa Nurain Randi berusia setahun sembilan bulan, dilaporkan kali terakhir dilihat berada di kawasan kuarters di kawasan ladang berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 12 tengah hari, pada 30 Mei lalu.

Katanya, operasi pencarian dimulakan bersama orang kampung dan pekerja ladang dengan radius pencarian sejauh lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Bagaimanapun mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian diteruskan hari ini yang bermula 10.45 pagi bersama orang kampung dengan radius pencarian satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa masih belum ditemui. Tiada litupan grin di lokasi kejadian.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X