KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerima RM320.25 juta selepas Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan peruntukan berkenaan sebagai bantuan untuk menyegerakan pelaksanaan pelan jangka pendek menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah itu membabitkan pelaksanaan enam program yang merangkumi 20 projek di seluruh negeri.Katanya, ia termasuk sembilan projek di bawah pelan daerah untuk Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.
“Kita mengalu-alukan keputusan segera Perdana Menteri. Pelaksanaan projek ini dijangka mengambil masa antara enam bulan hingga 12 bulan untuk disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengetuai rombongan negeri pada mesyuarat tertinggi membincangkan masalah air Sabah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.
Hajiji diiringi Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.Yang turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim dan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANs), Suhaimi Asbullah.
Mesyuarat berkenaan turut disertai Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengemukakan pelan jangka panjang bekalan air berimpak tinggi yang dirangka kerajaan negeri, termasuk projek empangan di Papar dan Ulu Padas, Sipitang bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk jangka masa panjang.
Bagi tujuan itu, katanya Perdana Menteri meminta supaya satu pasukan petugas khas ditubuhkan yang merangkumi kementerian persekutuan dan negeri bagi mencari pendekatan holistik dan terbaik untuk langkah ke hadapan.
Ketika menghadiri sambutan Pesta Kaamatan di Penampang semalam, Perdana Menteri berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat peringkat tertinggi mengenai masalah bekalan air di Sabah hari ini.
Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Menteri Besar Kelantan bersama rombongannya yang turut memberi taklimat kepada Perdana Menteri berhubung masalah sama di Kelantan. – Info X