Search

Kastam rampas lebih 1 juta batang rokok seludup

December 5, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 1 juta batang rokok seludup bernilai RM684,688 termasuk cukai dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kubang Jaya, Semporna, pada 24 November lalu.

Serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dijalankan pasukan kastam cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, operasi dilakukan hasil maklumat awam sebelum serbuan dilakukan ke atas rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan 1,009,600 batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM183,520 dan anggaran cukai RM510,168.

“Pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 60 an yang merupakan pemilik rumah berkenaan,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua rokok berkenaan dibawa masuk dari negara jiran dan bekalan itu untuk pasaran tempatan.

“Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk rokok berkenaan dari negara jiran dan menggunakan sebuah rumah tidak bernombor untuk dijadikan stor penyimpanan sementara.

“Selain itu, rumah berkenaan menjadi tempat menyembunyikan barang atau rokok belum lulus Kastam sebelum dijual dan diedar ke pasaran sekitar,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kemasukan rokok seludup berkenaan dan suspek terbabit akan dituduh di mahkamah.

“Semua barang bukti dan suspek terbabit dibawa ke Pejabat Kastam Semporna untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut 135(1)(d) Akta Kastam 1976.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Justeru, Mohd Nasir menyeru orang awam supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

“JKDM juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan,” katanya. – Info X