KOTA KINABALU: Tiga rakan berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terjatuh ke laluan jogging Pusat Rekreasi Teluk Likas, di Jambatan Yayasan Sabah, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, ketiga-tiga mangsa lelaki berusia 40 hingga 50 tahun cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport terjatuh pada ketinggian kira-kira 10 meter.
Difahamkan, kenderaan dinaiki tiga lelaki itu dalam perjalanan dari Kingfisher menuju ke pusat bandar raya.

Sebaik tiba di lokasi, kenderaan itu dipercayai terbabas ke kiri sebelum terjatuh ke laluan jogging Pusat Rekreasi Teluk Likas.
Salah seorang saksi kejadian, Azil, 28, berkata sebelum kejadian dia berada di belakang kenderaan berkenaan.
“Ketika menghampiri jambatan, tiba-tiba kenderaan itu melencong ke kiri dan terjatuh ke laluan jogging. Saya terus memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan segera melihat keadaan mangsa.
“Saya dengan dibantu beberapa orang awam segera membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan. Semua mereka cedera luka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia tidak mengetahui punca kenderaan itu tiba-tiba terjatuh ke laluan jogging.
“Alhamdulillah, keadaan mereka baik cuba luka-luka di badan,” katanya.
Semua mereka kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
Sepasukan polis Unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi bagi membantu mangsa dan mengawal keadaan lalu lintas. – Info X