KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas minuman keras dan tongkeng ayam yang diseludup ke negeri ini dalam empat siri rampasan berasingan membabitkan nilai rampasan dan duti RM1.32 juta.
Semua 7,010 karton minuman keras pelbagai jenama itu dipercayai diseludup masuk tanpa cukai untuk pasaran tempatan dengan mengisytiharkan sebagai barangan lain.
Manakala 2.8 tan tongkeng ayam yang bernilai pula dibawa masuk tanpa memiliki permit import yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Siti Mang berkata, rampasan pertama dilakukan hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 12 November lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan, kontena berkenaan mengandungi 2,500 karton minuman keras jenama ‘Hellsegga Beer’ yang tidak berkastam bernilai keseluruhan sebanyak RM376,233.
“Kes yang kedua diperolehi pada 3 Disember 2024 kira-kira jam 9.50 pagi, sepasukan pekerja kastam dari bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu telah menahan dan memeriksa sebuah kontena di kawasan pemeriksaan kastam di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut juga mendapati minuman keras jenama Carlsberg iaitu Carlsberg Beer disyaki telah juga melanggar peraturan di bawah Akta Kastam 1967.
“Minuman keras barangan-larangan untuk kes ini berjumlah 2,500 karton bersamaan dengan 19,200 liter yang dianggarkan bernilai RM72,768 dengan jumlah cukai yang terlibat sebanyak RM297,676,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Kastam Sabah, di Jalan Sulaman, di sini, hari ini.
Siti berkata, rampasan ketiga berlaku pada 20 November lalu apabila sebanyak 2,010 karton minuman keras jenama Chivas Regal dan Anchor Beer berjaya dirampas.
Manakala katanya, rampasan keempat membabitkan tongkeng ayam berjaya dilakukan pada 6 Disember lalu selepas dibawa masuk tanpa permit import.
“Kalau kita melihat keempat-empat kes ini, modus operandi dia membuat pengikraran tidak betul. Bagi kes yang ketiga tadi yang melibatkan Chivas Regal itu, pengikraran juga tidak benar dengan mengikrarkan barang sebagai household,” katanya.
Siti Mang berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.
Katanya, pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sehubungan itu, Siti berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Justeru itu katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
JKDM juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan. – Info X