KOTA KINABALU: Satu lagi gempa bumi lemah dikesan berlaku di Ranau hari ini dengan kekuatan 3.1 pada skala Richter.
Gegaran dilaporkan berlaku pada jam 10.01 pagi tadi di koordinat 6.0 darjah utara, 116.6 darjah timur.
Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) dalam laporannya berkata gegaran berpusat di kedalaman 10 kilometer pada jarak 14 kilometer di barat daerah Ranau.
“Gegaran mungkin dirasai sekitar Ranau, Sabah.Mohon tuan/puan yang merasai gegaran akibat gempa bumi ini dapat mengisi borang soal selidik di pautan https://forms.gle/PTpG6bkdD6EZB4F29.
“Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” kata laporan itu.
Semalam, satu gempa bumi lemah berukuran 2.8 skala Richter dikesan berlaku di Ranau pada jam 2.56 petang, berpusat di 5.97 darjah utara dan 116.57 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer.
Lokasi gempa bumi itu terletak 15 kilometer di barat Ranau, hanya berbeza satu kilometer berbanding gempa bumi lemah yang direkodkan hari ini tetapi pada kedalaman yang sama. – Info X