KOTA KINABALU: Tan Sri Musa Aman sah dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu menggantikan Tun Juhar Mahiruddin, hari ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah dari 2003 hingga 2018 itu menerima Surat Cara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Sejajar pelantikan itu, Musa dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun oleh Yang di-Pertuan Agong.
Musa akan memulakan tugas rasminya sebagai TYT baharu pada 1 Januari depan, iaitu setelah tamat tempoh perkhidmatan rasmi Tun Juhar pada 31 Disember ini.
Hadir sama menyaksikan istiadat itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Majlis menyambut ketibaan Musa sebagai TYT baharu dijadual diadakan esok di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). – Info X