Search

KDMRS MUSLIM LANCAR INISIATIF KUMPUL DANA TERBIT AL-QURAN TERJEMAHAN BAHASA ETNIK DI SABAH

February 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Malaysia (KDMRS Muslim) melancarkan inisiatif mengumpulkan dana kira-kira RM4 juta bagi membiayai kos penterjemahan serta penerbitan naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa etnik Murut, Rungus, Sungai dan Kadazan di Sabah.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif KDMRS Muslim, Nicholas Sylvester berkata, pihaknya sebagai permulaan merancang untuk mencetak 20,000 naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Dusun.

“Kami sudah memulakan inisiatif menyediakan naskhah al-Quran  berkenaan sejak Januari 2019 sehingga dapat disiapkan sepenuhnya pada 2022.

“Dusun adalah etnik majoriti penduduk di Sabah dengan jumlah lebih 869,000 orang namun minoriti beragama Islam hanya kira-kira 22 peratus dan belum ada naskhah al-Quran dengan terjemahan dalam bahasa Dusun yang diedarkan untuk keperluan masyarakat ini.

“Naskhah al-Quran terjemahan bahasa Dusun ini sudah diedarkan ke seluruh negara dengan tumpuan di Sabah terutama di semua surau, masjid, perpustakaan awam dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Nicholas memaklumkan al-Quran terjemahan itu disiapkan pasukan penterjemah yang menguasai Bahasa Arab dan bahasa Dusun.

Menurutnya, naskhah berkenaan disemak dan diluluskan oleh panel khas dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Oleh itu, kita kini mahu mengambil inisiatif menyediakan naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Rungus, Murut dan Sungai sebelum menyusul terjemahan bahasa Kadazan.

“Semua inisiatif ini memerlukan dana yang besar. Oleh itu, kita memohon sumbangan individu serta organisasi dermawan di luar sana untuk menjayakannya. – Info X