Search

RM400,000 UNTUK BINA SEMULA JAMBATAN, JETI PULAU PABABAG

February 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Sebanyak RM400,000 peruntukan diberikan bagi pembinaan semula jambatan serta jeti Pulau Pababag yang runtuh, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sudah menyerahkan Surat Arahan Pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna agar projek bina semula itu dapat dilaksanakan secepatnya.

“Sewaktu berada di negeri Sabah bagi meninjau keadaan banjir di Daerah Pitas pada 30 Januari lalu, saya telah dimaklumkan oleh Ketua Umno Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan mengenai kejadian jambatan dan jeti kayu yang roboh di Pulau Pababag, Semporna.

“Difahamkan pada ketika itu, terdapat 35 orang murid sekolah dan dua orang guru  dari kampung sekitar yang baru tiba di jeti untuk ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pababag sekitar jam 6.20 pagi.

“Berikutan kejadian itu, saya telah mengarahkan pihak KKDW untuk  menghubungi Pejabat Daerah Semporna bagi menyiasat dan mengambil tindakan segera.

“Hal ini kerana laluan berkenaan adalah laluan utama bagi urusan pergerakan harian penduduk termasuklah menghantar anak-anak ke sekolah serta tadika kemas Pulau Pababag,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menerusi kenyataan sama, Ahmad Zahid berharap  agar pembinaan jambatan dan jeti berkenaan dapat dilaksanakan dengan  kadar segera bagi membantu seramai sekurang-kurangnya 151 orang murid sekolah dan 35 orang murid tadika kemas ke sekolah selain penduduk kampung yang terjejas aktiviti harian akibat jambatan dan jeti yang sudah runtuh.

Terdahulu, Suasana sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag bertukar cemas apabila murid sekolah berkenaan terjatuh ke dalam laut ekoran jeti Kampung Pulau Pababag runtuh.

Bagaimanapun, tindakan pantas beberapa guru berjaya menyelamatkan semua murid berkenaan daripada lemas. Rakaman video tentang kejadian turut tular di media sosial. – Info X