PENAMPANG: Orang ramai di sekitar Beverly Hills, Jalan Bundusan, di sini dikejutkan dengan kejadian kebakaran membabitkan satu lot kedai yang menempatkan pejabat, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, api dilaporkan marak di bahagian tingkat dua bangunan jenis kekal sebelum orang awam menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.51 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan satu lot kedai dan api telah merebak kira-kira 70 peratus di bahagian tingkat dua bangunan berkenaan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dua pancutan sepanjang kira-kira 61 meter dengan sumber air daripada tangki jentera serta bantuan water tanker,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Menurutnya, seramai 29 anggota membabitkan BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan digerakkan ke lokasi bersama beberapa jentera termasuk FRT, tanker, EMRS dan CFRT bagi mengawal serta memadam kebakaran.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.22 malam dan operasi ditamatkan pada jam 10.28 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain wujud di lokasi kejadian.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM). – Info X