KOTA KINABALU: Seramai lapan individu termasuk dua wanita ditahan selepas didapati positif dadah jenis ketamin dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Penampang, awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, pasukan JSJN menjalankan pemeriksaan di dua pusat hiburan sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, seramai 32 individu diperiksa dan lapan daripadanya didapati positif ketamin hasil ujian saringan awal air kencing.
“Semua yang ditahan membabitkan enam lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 41 tahun.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati sebahagian suspek mengaku mengambil dadah jenis ketamin.
“Manakala seorang wanita pula mengaku meminum minuman yang dipercayai mengandungi dadah,” katanya.
Beliau berkata, tiada rampasan dadah dilaporkan dalam operasi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya risikan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pusat hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah. – Info X