TAWAU: Sebuah kedai menjual ikan di Bandar Sri Indah, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.28 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai 15 anggota bersama beberapa jentera termasuk FRT, LFRT, EMRS dan Water Tanker digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.49 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah kedai jenis kekal berkeluasan kira-kira 139 meter persegi yang terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada tangki jentera bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.20 pagi dan tidak membabitkan sebarang mangsa.
“Operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X