KOTA KINABALU: Kekayaan alam menjadi aset utama daerah Tuaran yang tidak boleh dikorbankan demi pembangunan, Kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Perkara itu, katanya perlu dijadikan panduan dalam Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035 yang dilancarkan beliau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Pelan itu, katanya memfokuskan sektor pelancongan, pertanian dan perikanan di daerah itu sebagai sumber ekonomi yang penting kepada penduduknya.
“Daerah Tuaran memiliki potensi besar dari segi keindahan semula jadi, budaya tempatan dan hasil pertanian yang pelbagai.
“Pelan ini memastikan semua pihak berkepentingan iaitu daripada pengusaha kecil hingga pelabur besar, dapat bersama-sama memanfaatkan peluang yang ada
“Pelan ini juga menekankan amalan lestari yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.
“Di kawasan seperti Tuaran, kekayaan alam adalah aset utama. Kita tidak boleh membiarkan pembangunan berlaku dengan mengorbankan warisan ini,” katanya.
Pada majlis yang sama, Hajiji turut melancarkan Rangka Tindakan Transformasi Sulaman; Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan dan Aplikasi serta Buku ReTrack.
Penyediaan pelan dan aplikasi itu masing-masing dijayakan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Jabatan Penjara Sabah.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi IDS, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Prof Madya Datuk Dr Ramzah Dambul.

Hajiji berkata keempat-empat inisiatitf itu akan membawa satu perubahan yang besar kepada Tuaran, khususnya dalam aspek pembangunan daerah dan ekonomi termasuk komuniti nelayan.
Beliau mengambil contoh, Rangka Tindakan Transformasi Sulaman adalah bukti bagaimana penglibatan komuniti menjadi teras kepada perancangan pembangunan.
Katanya, projek itu dirangka dengan mengambil kira suara rakyat, selain menekankan bahawa usaha membangunkan industri sulaman tempatan tidak hanya memberi pendapatan kepada pengusaha kecil, tapi juga memperkukuh identiti budaya Sabah yang kaya dengan seni dan tradisi.
“Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan pula bukan saja menyediakan sokongan teknologi kepada mereka, malah membuka peluang untuk diversifikasi dan pelbagaikan pendapatan melalui sektor lain seperti pelancongan dan pemprosesan hasil laut.
“Inisiatif ini dirangka kerana kita tahu bahawa komuniti nelayan yang sering menjadi mangsa perubahan ekonomi global, seperti ketidakstabilan harga dan perubahan iklim.
“Inisiatif seperti Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran dan Rangka Tindakan Transformasi Sulaman menyasarkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar yang selaras dengan matlamat ini,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata aplikasi dan buku ReTrack yang dihasilkan Jabatan Penjara adalah langkah untuk menangani isu sosial yang sering dipandang ringan oleh masyarakat.
Katanya, melalui aplikasi itu, bekas penghuni penjara tidak lagi dibiarkan berjuang sendirian.
“ReTrack berfungsi sebagai platform sokongan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan, membina jaringan sosial yang positif dan memantau kemajuan reintegrasi mereka ke dalam masyarakat.
“Hal ini sangat penting dan strategik khususnya bagi sebuah negeri yang luas dari segi geografi seperti Sabah,” katanya. – Info X