Search

Dakwaan skandal rasuah: Masidi dakwa video kaitkan dirinya disunting

December 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, mendakwa video memaparkan perbualannya dengan seorang individu berhubung dana RM300,000 yang dikaitkan dengannya sudah disunting.

Beliau yang merujuk kepada video terbaharu berkaitan dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah yang didedahkan sebuah portal berita hari ini, turut berkata tidak ingat perbualannya ketika video itu dirakam.

“Saya merujuk kepada video ‘whistleblower’ yang mengaitkan saya yang telah disiarkan oleh Malaysiakini.

“Sekadar untuk makluman, saya tidak pernah ingat perbualan tersebut kerana rakaman perbualan tersebut telah disunting.

“Yang saya ingat beliau menawarkan untuk menyumbang kepada parti dan saya telah menjawab bahawa tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai wang sebanyak RM300,000 yang kononnya diserahkan melalui pegawai khas saya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan sebarang siasatan atas dakwaan itu oleh pihak yang berwajib dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi penyiasat.

Hari ini, satu video sepanjang tiga minit 56 saat yang memaparkan perbualan Masidi dan pegawai khasnya dengan seorang individu dipercayai ahli perniagaan disebarkan melalui portal Malaysiakini, antara lain mendedahkan perbincangan berkaitan dana kepada Masidi.

Di awal video itu, individu yang menemui Masidi ada menyebut mengenai ‘mining’ (perlombongan) yang didakwanya menjadi isu kontroversi, sebelum diakui Masidi yang kemudian menyatakan kebimbangannya terhadap isu itu yang menyebabkan pembangkang bising.

Masidi kemudian bersetuju perkara itu disimpan untuk perhatian (KIV) dan bersalam dengan individu itu sebelum sesi video dengan beliau tamat.

Dalam video yang sama, rakaman diteruskan dengan perbualan individu terbabit dengan pegawai khas Masidi berkaitan soal dana. – Info X