KOTA KINABALU: Alto Linus berdepan cabaran pertama membimbing Sabah FC dalam saingan Liga Super tanpa enam tonggak utama untuk berdepan Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.
Pengendali sementara skuad Sang Badak itu mengakui cabaran bakal ditempuhi pasukannya apabila enam pemain yang mengalami kecederaan ketika aksi kedua Pusingan 16, Piala Malaysia menentang PT Athletic FC di Kuala Lumpur minggu lalu, belum pulih.
Enam pemain yang menjadi sandaran penting pasukan itu ialah Gabriel Peres, Saddil Ramdani, Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu, Farhan Roslan, Kwang Ming Ko dan Darren Lok.
Alto mengakui ketiadaan pemain terbabit sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukannya menghadapi kelab negeri jiran itu, namun tetap melihatnya secara positif.
“Ketiadaan mereka secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada pemain lain untuk memikul tugas penting di Kuching nanti.
“Jadi, ia bukan juga satu masalah yang besar kerana saya percaya mereka (pemain pengganti) mampu melakukannya,” katanya mengulas persiapan Sabah FC berdepan Kuching City, malam esok.

Alto turut mengakui bukan mudah berhadapan dengan Kuching City yang kini berada di tangga kelima carta Liga Super yang disifatkannya boleh memberi tekanan kepada mereka.
“Setiap pasukan yang berada pada kedudukan terbaik liga pasti akan merasai tekanan untuk mengekalkan konsistensi pada setiap perlawanan.
“Ini adalah normal kerana dalam setiap pertandingan liga, apabila kita berada di tempat yang baik sudah pasti pasukan lain akan turun dengan perancangan terbaik bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik,” katanya.
Alto berkata, Sabah FC juga mempunyai perancangan tersendiri untuk menghadapi perlawanan itu dan memastikan objektif perlawanan bagi memperoleh keputusan yang positif mampu dicapai.
“Kita mengakui Kuching City antara pasukan terbaik dalam Liga Super namun kita akan kekal positif dan yakin mampu melakukan apa saja pada ketika ini,” katanya.
Sabah FC kini berada di tangga ketiga carta Liga Super dengan mengumpul 26 mata berbanding Kuching City di tangga kelima dengan 18 mata.
Selepas aksi Liga Super esok, Sabah sekali lagi bertemu dengan Kuching City pada saingan Suku Akhir Piala Malaysia pada 13 dan 22 Disember ini. – Info X