Search

13 Pati warga Vietnam dihantar pulang

December 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Vietnam dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Semua Pati yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar itu dipindahkan menggunakan pengangkutan udara AirAsia untuk penghantaran pulang ke Ho Chin Minh City, Vietnam.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai 13 lelaki berusia lingkungan 23 hingga 51 tahun.

Katanya, ia membabitkan tahanan warga Vietnam di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Sabah dan Papar selepas dikesan masuk ke negara ini secara salah.

“PATI yang dipindahkan telah dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua ditahan selepas dikesan masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa ,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pati warga Vietnam dihantar pulang ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan udara. – Foto/JIM

SH Sitti Saleha berkata, Semua PATI terbabit telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan.

Katanya, setakat ini, seramai 50 orang tahanan warganegara Vietnam sudah dipindahkan sepanjang tahun 2024.

Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, sepanjang tahun ini, JIM Sabah sudah berjaya menghantar pulang keseluruhan 7,943 orang warganegara asing.

Katanya, semua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

“Kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan hubungan kerjasama daripada pihak Kedutaan Asing di Malaysia.

“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen Negeri Sabah.

“Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan,” katanya.

Menurutnya, tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

Katanya, ia juga termasuk individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sehubungan itu, JIM Sabah menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.

“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini,” katanya. – Info X