KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau tidak melihat sebarang masalah untuk meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah di bawah kepemimpinan Datuk Ewon Benedick yang dipilih sebagai pengerusi baharu PH Sabah
Ketua Menteri Sabah itu menyatakan keyakinannya bahawa hubungan GRS dan PH yang sudah sedia terjalin akan berterusan demi kepentingan negeri.
“Ya, sudah tentu..apa masalahnya. Dia (Ewon) kawan dalam PH dan pemimpin yang kita bekerjasama sebelum ini, jadi kita teruskan usaha (untuk bekerjasama),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu diminta mengulas pemilihan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu yang menggantikan Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi PH Sabah, terutama dari segi hubungan kerjasama PH Sabah dan GRS selepas ini.
Hajiji berkata, kerjasama PH yang dianggotai PKR, DAP, AMANAH dan UPKO dengan GRS yang dianggotai lapan parti tempatan mampu membawa kebaikan kepada Sabah.
“Campur dengan GRS, kitapun ada banyak parti, jadi kita rapatkan kerjasama ini untuk kebaikan kita bersama,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ewon setelah terpilih sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu dan berharap hubungan kerjasama serta perpaduan, khususnya di antara PH dan GRS bertambah mantap.
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PH Sabah pada Ahad lalu menyaksikan Ewon menewaskan Christina ketika pemilihan Pengerusi PH Sabah dengan kelebihan tiga undi. – Info X