Search
Search
Close this search box.

Kemalangan di Jalan Lintas, tiga termasuk dua beranak maut

December 11, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Tiga termasuk dua beranak maut selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian berhampiran Jejambat Bukit Padang, Jalan Lintas, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, ketiga-tiga mangsa bersama enam ahli keluarga lain yang menaiki Proton Iswara dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Mangsa wanita yang dikenali sebagai Asmidah Junaidi bagaimanapun disahkan meninggalkan dunia di lokasi kejadian manakala anak dan anak saudara lelaki berusia lima bulan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

Mangsa wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Jejambat Bukit Padang, Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kereta pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun bergerak dari arah Penampang ke Kolombong.

Katanya, kereta Proton Iswara yang dinaiki sembilan individu termasuk dua bayi kembar dan tiga kanak-kanak bergerak dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Proton Iswara berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, wanita yang duduk di penumpang hadapan Proton Iswara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Zaidi berkata, mangsa lain yang turut parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan HQEII untuk rawatan lanjut.

Keadaan kereta dinaiki mangsa remuk teruk dalam kemalangan di Jejambat Bukit Padang, Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

Katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu Toyota Hilux yang gagal mengawal kenderaan serta memandu secara merbahaya.

“Pemandu pacuan empat roda turut mengalami kecederaan di muka dan tangan. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis juga sudah mengambil spesimen darah daripada pemandu Toyota Hilux untuk dianalisa kandungan alkohol oleh Jabatan Kimia,” katanya. – Info X