KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) menjelaskan peningkatan bil elektrik pengguna kebelakangan ini banyak dipengaruhi faktor penggunaan semasa, khususnya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, cuaca panas serta penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi secara berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata penggunaan peralatan seperti penghawa dingin, pemanas air dan peti sejuk tambahan boleh meningkatkan jumlah bil pengguna.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pengguna supaya memantau penggunaan elektrik secara berkala dan mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah bagi mengawal jumlah bil bulanan.
“Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi mySE+ bagi menyemak bil, merekod penggunaan dan mendapatkan maklumat berkaitan akaun elektrik dengan lebih mudah serta pantas.
“Selain itu, pengguna boleh mendapatkan nasihat dan khidmat Sabah Electricity di semua 23 pejabat kawasan untuk menyemak meter elektrik dan penggunaan tenaga di premis mereka.
“Sabah Electricity juga menegaskan bahawa hasil kutipan bayaran bil adalah penting untuk memastikan operasi sistem bekalan elektrik dapat diteruskan secara mampan termasuk kerja penyelenggaraan, penambahbaikan infrastruktur dan kestabilan bekalan elektrik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan berhubung isu peningkatan bil elektrik pengguna yang banyak tular di media sosial.
Berikutan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya sentiasa membuat semakan bil elektrik dan memastikan pembayaran dibuat mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelak tunggakan dibawa ke bil seterusnya.
Tunggakan yang tidak dijelaskan, katanya boleh menyebabkan jumlah keseluruhan bil meningkat dan memberi kesan kepada pengurusan pembayaran pengguna.
Dalam pada itu, Mohd Yaakob turut menjelaskan Sabah Electricity memandang serius kes usikan pepasangan meter (KUPM), termasuk penyambungan haram, pengusikan meter dan aktiviti mencuri elektrik.
“Perbuatan ini bukan saja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang risiko keselamatan seperti kebakaran dan renjatan elektrik.
“Tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan ini dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa bertujuan melindungi kepentingan majoriti pengguna yang membayar bil secara sah dan bertanggungjawab,” katanya.
Katanya, Sabah Electricity memahami kebimbangan dan sentimen pengguna berhubung isu peningkatan bil elektrik dan menanganinya secara berhemah, telus dan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan pengguna terus dipelihara, di samping menjamin kelestarian sistem bekalan elektrik di Sabah dan Labuan.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan mengenai cagaran tambahan yang merujuk kepada bayaran deposit tambahan dikenakan kepada pengguna berdasarkan peningkatan penggunaan semasa atau rekod pembayaran tertentu, sebagai jaminan bagi memastikan bayaran bil elektrik dibuat dengan teratur.
“Semakan cagaran ini dilaksanakan secara berkala selaras dengan peruntukan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 2024 serta Akta Bekalan Elektrik 1990 yang memberi kuasa kepada pemegang lesen untuk mengenakan cagaran sebagai jaminan pembayaran bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, keperluan melaksanakan semakan cagaran tambahan setiap enam bulan bagi memastikan jumlah cagaran yang dipegang adalah selaras dengan corak penggunaan semasa dan risiko pembayaran pengguna.
Semakan berkala itu, jelasnya membantu memastikan akaun pengguna mempunyai jaminan yang mencukupi jika berlaku peningkatan penggunaan elektrik atau tunggakan bayaran, sekali gus menyokong kelangsungan operasi dan kestabilan sistem bekalan elektrik secara menyeluruh.
Beliau berkata Sabah Electricity terus komited untuk memperkukuh komunikasi bersama pengguna serta memastikan setiap isu yang dibangkitkan ditangani secara profesional, telus dan berintegriti demi kepentingan bersama.
Pada masa yang sama, beliau menasihati pengguna yang mempunyai kemusykilan berkaitan bil mereka supaya menghubungi Sabah Electricity Careline 15444, 088-515000, Whatsapp 019-852 5427 atau menggunakan aplikasi mySE+. – Info X