KOTA MARUDU: Pengorbanan seorang abang yang cuba menyelamatkan adiknya yang juga orang kurang upaya (OKU) dalam kebakaran rumah di Kampung Torintidon, Jalan Kampung Lampada, awal pagi tadi, berakhir pilu apabila remaja itu ditemukan rentung.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi itu, Lorex Sindam, 16, dipercayai terperangkap di dalam rumah yang terbakar 100 peratus.
Abang mangsa, Razani Sindam, 28, pula mengalami kecederaan melecur ketika cuba menyelamatlan adiknya sebelum dihantar penduduk kampung ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Debli Mamoi berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Vigo dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai.
“Bagaimanapun, jentera FRT hanya dapat melalui perjalanan sejauh 14 kilometer sehingga berhampiran SK Lampada sebelum anggota meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan Vigo berikutan keadaan jalan tidak berturap menuju ke kampung berkenaan.

“Setibanya di lokasi pada jam 4.48 pagi, rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 78 meter persegi itu didapati sudah terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman dan kerja overhaul menggunakan sumber air daripada paip penduduk kampung.
“Seorang mangsa ditemukan rentung dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seorang lagi mangsa yang melecur sudah dihantar ke hospital sebelum ketibaan bomba,” katanya.

Debli berkata, operasi turut berdepan kesukaran apabila tiada liputan selain rangkaian telefon yang kurang stabil di kawasan kampung terbabit.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.53 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X