Search

Ops Tiris 4.0: 1,520 liter petrol cuba diseleweng dirampas

May 13, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan menyeleweng 1,520 liter minyak petrol di kawasan atas jambatan Kampung Air di sini, berjaya dipatahkan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam.

Rampasan tanpa tuan itu membabitkan 60 gelen berisi petrol dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM7,600.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima serahan kes rampasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, rampasan berkenaan membabitkan 56 gelen putih berisi 1,400 liter petrol dan empat gelen biru berisi 120 liter petrol yang dipercayai cuba diselewengkan.

“Susulan itu, KPDN Semporna membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

“KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan dan tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama.

Katanya, bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya sehingga RM5 juta,” katanya. – Info X