Search

KENALI PENYAMPAI BAHARU KUPIKUPIFM, IKA MANDA

April 23, 2022

admin

KOTA KINABALU: Segmen Bangun Bogia Kinabalu di Kupikupi FM bakal diceriakan dengan kehadiran penyampai baharu, Ika Manda yang akan bergandingan dengan Niz bermula Isnin ini.

Ika Manda atau nama sebenarnya Norsyafikah Darman, 25, menggantikan Greg yang meninggalkan stesen radio popular tempatan itu, baru-baru ini.

Dilahirkan di Beaufort, Ika Manda bukanlah nama yang asing dalam dunia radio di Sabah apabila beliau pernah mencurahkan bakti bersama KKFM dan juga Era Sabah.

Beliau juga merupakan seorang “influenfer” di media sosial apabila mempunyai hampir 70,000 pengikut di Instagram, lebih 88,000 pengikut di Facebook selain lebih 224,000 pengikut di Tik Tok.

Kehadiran Ika Manda mungkin menjadi sesuatu yang baharu buat pendengar setia Kupikupi FM, namun, dengan pengalamannya dalam industri radio, beliau pastinya mampu menghiburkan seterusnya menceriakan para pendengar.

Segmen Bangun Bogia Kinabalu yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 6 hingga 10 pagi, pada mulanya diterajui oleh gandingan mantap Niz dan Greg.

Dalam satu video yang dimuat naik stesen radio berkenaan di Facebook, Greg akui keputusan meninggalkan Kupikupi FM bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih beliau antara perintis stesen radio popular itu yang mula bersiaran sejak 2016.

Bagaimanapun, katanya, beliau terpaksa meninggalkan rakan-rakan seperjuangan di Kupikupi FM kerana mempunyai komitmen lain selain ingin menumpukan lebih perhatian kepada keluarganya.

Selain Niz dan Ika Manda, penyampai lain Kupikupi FM ialah Nera dalam segmen Kiki Bah Bersama Nera, Rezu (Kupi Kupi Dulu), Velvet (Steady Ko Geng) dan Darel (Selamat Malam KK). – Info X