KOTA KINABALU: Seramai 10 daripada 11 pemilik syarikat yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini mengaku salah atas 29 pertuduhan mengemukakan penyata akaun bank palsu kepada Jabatan Pendidikan Sabah bagi menyertai tender membekal makanan asrama pada 2014 hingga 2018 dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah lebih RM49 juta.
Mereka ialah Pemilik Aspirasi Sejagat Enterprise Melinah binti Minus berusia 29 tahun; Pemilik Alhamdulillah Enterprise Yulles @ Osman bin Yakin berusia 40 tahun; Pemilik Hadirah Enterprise, Yunani binti Haikal berusia 38 tahun; Pemilik Salam Rizqi Enterprise Saliuddin bin Ariffin berusia 38
tahun dan Pemilik Tupai-tupai Enterprise, Juanis bin Yakin berusia 38 tahun.
Lima lagi ialah Pemilik Pemborong Impian, Roslan bin Rasul berusia 37 tahun; Pemilik Tetap Unggul Enterprise Marudin bin Andawa berusia 32 tahun; Pemilik Puncak Ilham Enterprise, Kathlenawati binti Siambing berusia 49 tahun; Pemilik Fokus Genarasi Enterprise, Noryana Luciana Abdullah berusia 44 tahun; Pemilik Pemborong Ar Rahman, Eunus bin Likuran, berusia 52 tahun
Kesemua mereka berdepan 29 pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Hakim Abu Bakar Manat yang mendengar kes berkenaan memerintahkan semua tertuduh membayar denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah denda keseluruhan terhadap semua tertuduh sebanyak RM145,000.
Semua 10 tertuduh terbabit membayar denda berkenaan.
Sementara itu, seorang tertuduh yang didakwa atas 50 pertuduhan mengikut seksyen yang sama mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
Tertuduh, Rita binti Pengeran, 31, pemilik Pemborong Sinar Suria kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM15,000 dan seorang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Keningau setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang kes berjalan.
Secara keseluruhan, SPRM Sabah membuat 79 pertuduhan terhadap 11 pemilik syarikat terbabit kerana kesemua mereka disyaki mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi tiga bulan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 2014 hingga 2018.
Ia bertujuan untuk memasuki Tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak Asrama bagi sekolah rendah dan menengah di sekitar Sabah dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah kira-kira RM49 juta
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapiee. – Info X