Search

SALAH GUNA KUASA SINDIKET TUMPAS, MINUMAN KERAS TANPA CUKAI BERNILAI RM2.04 JUTA

April 19, 2022

admin

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dan penjualan minuman keras tidak bercukai selepas merampas 4,690 kotak minuman keras yang dianggarkan bernilai RM2.04 juta di sebuah gudang di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, semalam.

Operasi jam 4 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK) Bukit Aman bersama Tiger Platon Briged Sabah.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah Abdul Rani Alias berkata, tiga lelaki tempatan yang masing-masing berusia 29, 38 dan 50 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.

Katanya, hasil penggeledahan di dalam gudang terbabit menemukan enam kenderaan termasuk dua lori kontena dengan muatan minuman keras tidak bercukai.

“Pemeriksaan lanjut merampas 4,690 kotak minuman keras dengan kapasiti 37,144.8 liter yang dianggarkan bernilai RM2,047,607.10 termasuk cukai.

“Turut dirampas enam kenderaan dianggarkan bernilai RM365,000. Selain itu wang tunai RM12,770 dan enam telefon bimbit turut dirampas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, jumlah keseluruhan rampas ini dianggarkan bernilai RM2,428,377.

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran dan penjualan minuman keras tidak bercukai di sekitar daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X