Search

Kenderaan berat diminta beri laluan rombongan kembara Agong

September 3, 2023

Info X Reporters

BELURAN: Polis menasihatkan kenderaan berat supaya memberi laluan kepada rombongan ‘Kembara Borneo Dirgahayu Tuanku’ Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AL-Mustafa Billah Shah, pada 5 September ini.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, semua pengguna jalan raya diminta supaya merancang pergerakan mereka sempena ketibaan konvoi Tuanku nanti.

Katanya, rombongan kembara Tuanku dijangka tiba pada jam 10.30 pagi hingga 2.30 petang dan melibatkan jalan Batu 32 Sandakan hingga Telupid.

“Rombongan berkenaan akan melalui jalan utama dan keadaan trafik dijangka berlaku sedikit kesesakan memandangkan pergerakan dilakukan secara berkumpulan serta jumlah yang banyak.

“Justeru, semua pengguna jalan raya diminta peka dengan jadual perjalanan rombongan Tuanku supaya ia berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, Tuanku Agong turut dijangka menghadiri beberapa program yang telah ditetapkan di Institut Perhutanan Telupid Sabah. – Info X